1. Tajuk Menarik Perhatian Pembaca.
Penulisan blog yang baik mestilah memiliki tajuk yang mampu menarik perhatian para pembaca. Hal ini demikian kerana, selalunya seseorang pembaca akan menilai sesuatu blog itu berpandukan kepada tajuk yang diberikan. Jika tajuk yang diberikan menarik, mereka akan tertarik untuk membaca blog tersebut, namun jika tajuk yang diberikan kelihatan membosankan, pembaca biasanya akan memilih untuk membaca blog lain yang lebih menarik perhatian mereka. Oleh itu, jelaslah bahawa tajuk yang menarik akan menjadikan pembaca lebih tertarik untuk membaca sesuautu penulisan dalam blog.
2. Cerita Menarik Yang Dapat Menarik Hati Pembaca.
Seterusnya, penulisan blog yang bagus akan mengandungi cerita menarik yang dapat menarik hati para pembaca. Cerita yang menarik ini selalunya berasal daripada pengalaman sebenar. Situasi ini demikian kerana, selalunya penulisan yang berasal daripada pengalaman sebenar akan lebih menarik hati dan perhatian pembaca berbanding kisah-kisah fiksyen. Apabila sesuatu penulisan itu berdasarkan pengalaman sebenar, pembaca akan berasa seolah-olah mereka turut berada dalam situasi cerita itu. Cerita yang menarik ini boleh dipelbagaikan mengikut genre seperti genre romantik, sedih, lucu dan sebagainya agar pembaca tidak berasa bosan jika hanya satu genre yang diceritakan dalam penulisan blog tersebut.
3. Masukkan Ayat Yang Humor Dan Berbentuk Jenaka Untuk Membuatkannya Lebih Menarik.
Selain itu, penulisan yang memiliki ayat yang humor dan berbentuk jenaka pastinya akan menjadikan penulisan blog lebih menarik. Hal ini demikian kerana, penulisan yang terlalu padat, serius dan berat akan menjadikan minda pembaca bertambah sarat dengan segala maklumat. Sedangkan, pembaca asalnya mahu membaca penulisan blog yang santai dan berbentuk jenaka untuk meringankan beban fikiran mereka. Jenaka atau ayat humor yang dimasukkan akan menjadikan penulisan blog lebih santai dan mesra pembaca. Namun demikian, harus diingatkan bahawa jenaka itu mestilah tidak melibatkan sebarang sensitiviti yang boleh mencetuskan isu-isu yang tidak sepatutnya.
4. Memastikan Terdapat Hujah Terbaik Untuk Menghuraikan Penulisan.
Disamping itu, penulisan blog yang mengandungi hujah terbaik dalam menghuraikan penulisan akan menjadikan penulisan tersebut lebih baik dan berkualiti. Hal ini demikian kerana, hujah-hujah yang tidak berasaskan sesuatu fakta akan menjadikan penulisan tersebut tidak dipercayai pembaca. Penulis blog boleh memasukkan hujah-hujah daripada tokoh atau sarjana untuk menjadikan penulisan itu lebih dipercayai. Penulisan yang berpandukan fakta yang betul akan menjadikan pembaca lebih yakin dengan sebarang bentuk penulisan yang diberikan dalam blog tersebut.
5. Kaitkan Penulisan Dengan Berita Terkini.
Penulisan dalam blog yang ditulis haruslah dikaitkan dengan berita-berita yang baru dan terkini. Hal ini demikian kerana, penulisan yang hanya disokong oleh berita yang lama dan ketinggalan zaman akan menjadikan penulisan blog tidak menarik dan seakan-akan penulis blog merupakan seorang yang jarang membaca dan mengetahui berita semasa. Malahan, penulisan yang memiliki berita terkini akan membantu dalam menambahkan lagi pengetahuan semasa dalam diri para pembaca dan sekaligus menjadikan penulisan dalam blog bermanfaat untuk dibaca.
6. Gunakan Perkataan Dan Struktur Ayat Yang Ringkas.
Perkataan dan struktur ayat yang ringkas akan dapat membantu dalam menjadikan penulisan blog yang baik. Maksud penggunaan perkataan dan struktur ayat yang ringkas ialah penulisan blog tersebut tidak seharusnya memiliki perkataan yang 'jargon' atau sukar difahami dan struktur ayat yang berbelit-belit sehingga menyukarkan pembaca untuk memahami penulisan yang disampaikan. Penggunaan perkataan dan sturuktur ayat yang sukar akan menghilangkan minat para pembaca .
7. Dapat Dibaca Dan Difahami.
Penulisan blog yang baik mestilah memiliki penulisan yang dapat dibaca dan difahami. Perkara ini boleh dilakukan dengan memastikan penulisan tersebut tidak begitu sarat dengan maklumat-maklumat berat sehingga boleh mengakibatkan pembaca tidak boleh memahami perkara yang ingin disampaikan. Malahan, penulisan blog yang baik seharusnya memiliki perkara-perkara yang boleh difahami tanpa memerlukan para pembaca mencari maklumat berkenaan perkara yang ditulis di laman web yang lain.
8. Dapat Berkomunikasi Dengan Pembaca.
Tambahan lagi, penulisan blog yang bagus akan membolehkan penulis berkomunikasi dengan pembaca. Maksud dapat berkomunikasi dengan pembaca adalah penulis blog seharusnya meletakkan sesuatu meletakkan suatu ruangan yang membolehkan pembaca bertanya sebarang soalan berkenaan perkara yang ditulis di dalam blog. Ruangan ini haruslah sentiasa diperiksa oleh penulis agar sebarang persoalan yang diberikan dapat dijawab dengan sebaiknya. Malahan, melalui cara ini pembaca akan dapat berkomukasi dengan penulis dan sekaligus menjadikan penulisan lebih difahami.
9. Masukkan Moral Dan Nilai Estetika Dalam Penulisan.
Penulisan blog yang baik semestinya memerlukan penulisan yang mengandungi moral dan nilai estetika. Hal ini demikian kerana, pembaca seharusnya mendapat manfaat dan kebaikan semasa membaca penulisan tersebut. Selain itu, nilai estetika dalam penulisan akan menjadikan penulisan lebih menarik untuk dibaca dan tidak bosan. Antara cara yang boleh digunakan untuk meningkatkan nilai estetika dalam penulisan adalah dengan menggunakan kata-kata yang sopan, tidak berunsur kasar,makian dan sebagainya.
10. Berilmu Untuk Penulisan Pendidikan.
Penulisan blog haruslah berilmu untuk penulisan pendidikan. Hal ini demikian kerana, pada zaman serba canggih ini, pelajar-pelajar tidak kira sekolah rendah, menengah atau di peringkat universiti selalunya akan mencari maklumat berkaitan pendidikan di internet terutamanya di laman blog. Oleh hal demikian, penulisan yang disampaikan haruslah berilmu dan berfakta agar maklumat yang diberikan bermanfaat untuk digunakan oleh mereka dalam pembelajaran. Penulisan yang tidak berilmu akan mengakibatkan kesalahfahaman dalam maklumat yang disampaikan.
Sekian, Terima Kasih.
Harap penulisan kali ini akan bermanfaat untuk mereka yang berminat dalam penulisan blog.
No comments:
Post a Comment