Monday, September 30, 2019

BBM3910Satu2019: SUATU KETIKA

Assalammualaikum...  Semua sihat? :) 

Hari ini saya akan berkongsi cerita berkenaan keluarga saya. Jika disebutkan hal keluarga, semua orang memiliki keluarga yang bezanya masih ada atau tidak di dunia ini. Keluarga saya kecil dan hanya terdiri daripada emak, ayah dan saya bersama tiga orang lagi kakak. Emak saya berumur sama seperti tahun Malaysia mencapai kemerdekaan iaitu 62 tahun. Manakala, ayah saya pula sudah berumur 64 tahun. Tapi itu merupakan umurnya semasa meninggal dunia pada tahun 2018. Jika masih hidup tahun ini dia akan berumur 65 tahun. Ayah meninggal dunia kerana kanser paru-paru. Manakala, kakak sulong saya bernama Roshanina binti Mat Idrus dan berusia 34 tahun. Dia sudah berkahwin dan memilik sepasang cahaya mata yang bernama Nur Hairina Qaisara dan Mohd Irfan Raffiqi. Kedua-duanya amat nakal dan memeningkan kepada sesiapa yang dekat dengan mereka. Kakak kedua saya pula bernama Roshanini binti Mat Idrus. Dia sudah berusia 32 tahun tetapi masih belum berkahwin. Mungkin masih menunggu jodohnya membesar. hahaha. Kakak ketiga saya berusia 26 tahun dan sudah berkahwin serta memiliki seorang anak yang bernama Mohd Rayyan Anaqi. Anaqi merupakan anak buah yang agak patuh jika dibanding dengan dua orang lagi. Selain itu, saya juga agak rapat dengan kedua-dua abang ipar kerana sudah berkenalan agak lama dan sering menemani mereka semasa 'dating'. 

Seperti yang saya ceritakan di atas, keluarga saya tidak ramai dan jika melibatkan saudara-saudara yang lain, kami tidak berapa rapat kerana saya dan keluarga dahulunya tinggal di Perak sedangkan mereka di Selangor. Namun demikian, kami masih melawat satu sama lain semasa hari raya dan kenduri kendara. Meskipun, keluarga saya kecil tetapi saya suka kerana bagi saya ramai-ramai hanya memeningkan kepala dan mendatangkan pelbagai isu. Hahhaha. Tetapi yang paling penting, saya amat menyayangi mereka semua dan berharap agar mereka semua sentiasa sihat dan dipanjangkan umur. Kalau boleh saya nak emak saya hidup lebih lama daripada Queen Elizabeth. Aminnnnnnnnn Ya Rabbal Alaminnnnn......

Sekian sahaja cerita saya berkenaan keluarga saya. Harap semua sudi membacanya ~~~ byebye :) 


Inilah gambar saya dan keluarga~~Abang-abang ipar tak ada sebab kena tangkap gambar.


BBM3401Satu2019: TIPS BELAJAR DENGAN MUDAH

Hari ini saya akan berkongsi tips belajar dengan mudah. Sebagai seorang pelajar sudah tentu kita ingin berjaya dalam pelajaran dan hal ini memerlukan kita untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. Namun demikian, kebanyakan daripada pelajar tidak gemar untuk melakukan perkara yang susah dan sukar dalam mengulang kaji pelajaran. Oleh hal demikian, saya akan berkongsi beberapa tips yang sering digunakan dalam belajar. Tips ini boleh dilihat pada gambar yang berikut :



SEMOGA PERKONGSIAN INI BERMANFAAT UNTUK KITA SEMUA!!~~

:)

Monday, September 23, 2019

BBM3410Satu2019: Masih Di Sini

Assalammualaikum,

Hari ini kami telah menerima pelbagai tugasan semasa kelas amali. Kelam kabut tak cukup tangan sebab nak kejar masa untuk menyiapkan tugasan yang diberikan. Antara tugasan yang diberikan adalah kami perlu menulis satu pengalaman terbaik yang tidak dapat dilupakan.Oleh kerana saya malas nak korek otak fikir pengalaman yang paling berharga saya pilih  pengalaman mendapat anak buah yang pertama iaitu Nur Hairina Qaisara binti Hairul Izhan. Pertama kali saya mendapat anak buah adalah semasa berumur 18 tahun. Saya berasa amat gembira kerana selama ini saya tidak memiliki adik. Kehadiran Nur Hairina Qaisara telah menceriakan hari-hari saya dan keluarga dengan gelak tawanya. Kini, dia sudah berusia 4 tahun dan semakin nakal dengan gelagatnya. Dia kerap mencari gaduh dan menyakat saya apabila saya pulang ke ruamh. Dia juga amat menggilai kartun 'Pony' sehingga akan menjerit0jerit apabila melihat kartun tersebut. Gelagatnya menjengkelkan, namun saya tetap sayang kepada budak kerinting itu. Saya berharap dia akan membesar menjadi anak yang baik kepada kedua-dua ibu bapanya.



Sunday, September 22, 2019

BBM3410Satu2019: Nenek dan Datuk


Rujukan : Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi Teori dan Aplikasi

Penulis : Prof.Dr. Normaliza Abd Rahim

Penerbit: Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Cerita Sosial 1 : Nenek dan Datuk


SINOPSIS 


Cerita Sosial 1: Nenek dan Datuk ini adalah berkisarkan Alim yang akan pulang ke kampung di Kajang bersama keluarganya. Alim amat teruja untuk pulang ke kampung kerana dia mahu bermain dengan ayam dan itik belaan datuk dan neneknya. Namun demikian, Alim amat sedih dan kecewa apabila tidak menemui ayam dan itik tersebut. Dia menyangkakan ayam dan itik itu sudah mati. Tetapi Alim mula berasa gembira apabila mengetahui bahawa ayam dan itik tidak mati dan hanya dipindahkan ke reban yang baharu. Alim berasa sedih sekali lagi apabila melihat perubahan keadaan rumah datuk dan neneknya tetapi dipujuk oleh neneknya dengan dibawa berjalan-jalan sekeliling kawasan rumah. Hati Alim yang duka terubat dan akhirnya dia boleh bergelak ketawa bersama adik-beradiknya sambil menonton televisyen.



Antara jenis multimedia yang boleh digunakan bagi tujuan penyebaran cerita sosial tersebut adalah seperti yang berikut:

1. Blog

Laman blog boleh dijadikan sebagai saluran multimedia untuk menyebarkan cerita sosial tersebut. Hal ini boleh dilakukan dengan menulis sinopsis cerita berikut atau menulis kembali sepenuhnya cerita tersebut di dalam blog. Namun demikian, rujukan cerita sosial seperti tajuk buku, penulis dan penerbit haruslah disertakan.

2. Instagram 

Instagram adalah antara laman sosial paling terkenal terutamanya dalam kalangan generasi muda. Cerita sosial itu boleh disebarkan dengan diadaptasikan ke dalam bentuk komik atau lukisan dan dimuat naik dalam Instagram.

3. Facebook 

Laman sosial 'Facebook' yang memiliki pelbagai fungsi seperti memuat naik video, gambar, dan sebagainya akan membolehkan penyebaran cerita sosial ini. Hal yang sama boleh dilakukan seperti di Instagram iaitu mengadaptasikan cerita itu ke dalam bentuk komik atau lukisan dan dimuat naik dalam Facebook untuk menjadikan lebih ramai pembaca.


4. YouTube

Youtube merupakan laman sosial yang popular dengan video-video. Cerita sosial yang dibaca boleh diadaptasi dalam bentuk animasi dan video animasi tersebut boleh dimuat naik dalam YouTube untuk membolehkan lebih banyak orang mengetahui berkenaan cerita tersebut. Malahan, animasi akan memudahkan orang untuk memahami jalan cerita yang ingin disampaikan.  


 5. Twitter

Twitter merupakan laman sosial yang terkenal dengan bebenang atau 'thread' boleh digunakan untuk menyebarkan cerita sosial ini. Hal ini boleh dilakukan dengan menceritakan kisah dalam cerita sosial tersebut secara bebenang atau 'thread' untuk menarik minat para pembaca.

 

BBM3410Satu2019: Etika Penulisan Blog

Menurut Nowson (2006), blog merupakan laman web yang dikemas kini mengikut susunan kronologi manakala bahasa yang digunakan juga tidak formal dan kurang terhad.  Malahan, Normaliza Abd Rahim (2014) telah menyenaraikan 10 cara menulis blog dengan baik. Huraian berikutnya akan menjelaskan setiap satu daripada 10 cara menulis blog.

1. Tajuk Menarik Perhatian Pembaca.

Penulisan blog yang baik mestilah memiliki tajuk yang mampu menarik perhatian para pembaca.     Hal ini demikian kerana, selalunya seseorang pembaca akan menilai sesuatu blog itu berpandukan kepada tajuk yang diberikan. Jika tajuk yang diberikan menarik, mereka akan tertarik untuk membaca blog tersebut, namun jika tajuk yang diberikan kelihatan membosankan, pembaca biasanya akan memilih untuk membaca blog lain yang lebih menarik perhatian mereka. Oleh itu, jelaslah bahawa tajuk yang menarik akan menjadikan pembaca lebih tertarik untuk membaca sesuautu penulisan dalam blog.


2. Cerita Menarik Yang Dapat Menarik Hati Pembaca.

Seterusnya, penulisan blog yang bagus akan mengandungi cerita menarik yang dapat menarik hati para pembaca. Cerita yang menarik ini selalunya berasal daripada pengalaman sebenar. Situasi ini demikian kerana, selalunya penulisan yang berasal daripada pengalaman sebenar akan lebih menarik hati dan perhatian pembaca berbanding kisah-kisah fiksyen. Apabila sesuatu penulisan itu berdasarkan pengalaman sebenar, pembaca akan berasa seolah-olah mereka turut berada dalam situasi cerita itu. Cerita yang menarik ini boleh dipelbagaikan mengikut genre seperti genre romantik, sedih, lucu dan sebagainya agar pembaca tidak berasa bosan jika hanya satu genre yang diceritakan dalam penulisan blog tersebut.

3. Masukkan Ayat Yang Humor Dan Berbentuk Jenaka Untuk Membuatkannya Lebih Menarik.

Selain itu, penulisan yang memiliki ayat yang humor dan berbentuk jenaka pastinya akan menjadikan penulisan blog lebih menarik. Hal ini demikian kerana, penulisan yang terlalu padat, serius dan berat akan menjadikan minda pembaca bertambah sarat dengan segala maklumat. Sedangkan, pembaca asalnya mahu membaca penulisan blog yang santai dan berbentuk jenaka untuk meringankan beban fikiran mereka. Jenaka atau ayat humor yang dimasukkan akan menjadikan penulisan blog lebih santai dan mesra pembaca. Namun demikian, harus diingatkan bahawa jenaka itu mestilah tidak melibatkan sebarang sensitiviti yang boleh mencetuskan isu-isu yang tidak sepatutnya.


4. Memastikan Terdapat Hujah Terbaik Untuk Menghuraikan Penulisan.

Disamping itu, penulisan blog yang mengandungi hujah terbaik dalam menghuraikan penulisan akan menjadikan penulisan tersebut lebih baik dan berkualiti. Hal ini demikian kerana, hujah-hujah yang tidak berasaskan sesuatu fakta akan menjadikan penulisan tersebut tidak dipercayai pembaca. Penulis blog boleh memasukkan hujah-hujah daripada tokoh atau sarjana untuk menjadikan penulisan itu lebih dipercayai. Penulisan yang berpandukan fakta yang betul akan menjadikan pembaca lebih yakin dengan sebarang bentuk penulisan yang diberikan dalam blog tersebut.

5. Kaitkan Penulisan Dengan Berita Terkini. 

Penulisan dalam blog yang ditulis haruslah dikaitkan dengan berita-berita yang baru dan terkini. Hal ini demikian kerana, penulisan yang hanya disokong oleh berita yang lama dan ketinggalan zaman akan menjadikan penulisan blog tidak menarik dan seakan-akan penulis blog merupakan seorang yang jarang membaca dan mengetahui berita semasa. Malahan, penulisan yang memiliki berita terkini akan membantu dalam menambahkan lagi pengetahuan semasa dalam diri para pembaca dan sekaligus menjadikan penulisan dalam blog bermanfaat untuk dibaca.

6. Gunakan Perkataan Dan Struktur Ayat Yang Ringkas.

Perkataan dan struktur ayat yang ringkas akan dapat membantu dalam menjadikan penulisan blog yang baik. Maksud penggunaan perkataan dan struktur ayat yang ringkas ialah penulisan blog tersebut tidak seharusnya memiliki perkataan yang 'jargon' atau sukar difahami dan struktur ayat yang berbelit-belit sehingga menyukarkan pembaca untuk memahami penulisan yang disampaikan. Penggunaan perkataan dan sturuktur ayat yang sukar akan menghilangkan minat para pembaca .

7. Dapat Dibaca Dan Difahami.

Penulisan blog yang baik mestilah memiliki penulisan yang dapat dibaca dan difahami. Perkara ini boleh dilakukan dengan memastikan penulisan tersebut tidak begitu sarat dengan maklumat-maklumat berat sehingga boleh mengakibatkan pembaca tidak boleh memahami perkara yang ingin disampaikan. Malahan, penulisan blog yang baik seharusnya memiliki perkara-perkara yang boleh difahami tanpa memerlukan para pembaca mencari maklumat berkenaan perkara yang ditulis di laman web yang lain.

8. Dapat Berkomunikasi Dengan Pembaca.

Tambahan lagi, penulisan blog yang bagus akan membolehkan penulis berkomunikasi dengan pembaca. Maksud dapat berkomunikasi dengan pembaca adalah penulis blog seharusnya meletakkan sesuatu meletakkan suatu ruangan yang membolehkan pembaca bertanya sebarang soalan berkenaan perkara yang ditulis di dalam blog. Ruangan ini haruslah sentiasa diperiksa oleh penulis agar sebarang persoalan yang diberikan dapat dijawab dengan sebaiknya. Malahan, melalui cara ini pembaca akan dapat berkomukasi dengan penulis dan sekaligus menjadikan penulisan lebih difahami.

9. Masukkan Moral Dan Nilai Estetika Dalam Penulisan.

Penulisan blog yang baik semestinya memerlukan penulisan yang mengandungi moral dan nilai estetika. Hal ini demikian kerana, pembaca seharusnya mendapat manfaat dan kebaikan semasa membaca penulisan tersebut. Selain itu, nilai estetika dalam penulisan akan menjadikan penulisan lebih menarik untuk dibaca dan tidak bosan. Antara cara yang boleh digunakan untuk meningkatkan nilai estetika dalam penulisan adalah dengan menggunakan kata-kata yang sopan, tidak berunsur kasar,makian dan sebagainya.

10. Berilmu Untuk Penulisan Pendidikan. 

Penulisan blog haruslah berilmu untuk penulisan pendidikan. Hal ini demikian kerana, pada zaman serba canggih ini, pelajar-pelajar tidak kira sekolah rendah, menengah atau di peringkat universiti selalunya akan mencari maklumat berkaitan pendidikan di internet terutamanya di laman blog. Oleh hal demikian, penulisan yang disampaikan haruslah berilmu dan berfakta agar maklumat yang diberikan bermanfaat untuk digunakan oleh mereka dalam pembelajaran. Penulisan yang tidak berilmu akan mengakibatkan kesalahfahaman dalam maklumat yang disampaikan.


Sekian, Terima Kasih. 
Harap penulisan kali ini akan bermanfaat untuk mereka yang berminat dalam penulisan blog.




Monday, September 16, 2019

BBM3410Satu2019: SAYA FAHAM


Lirik dan Lagu : Profesor Dr.Normaliza Abd Rahim

Hak Cipta: Universiti Putra Malaysia




Saya Faham 

Saya kata "Apa khabar"
Dia jawab "Khabar baik"
Ucapan untuk dia
Ucapan untuk saya

Selamat pagi, tengah hari, petang, malam
Untuk dia
Untuk saya

Terima kasih
Sama-sama
Untuk dia
Untuk saya

Terima kasih 
Sama-sama
Untuk kita 
Untuk mereka



BBM3410Satu2019: DIRI

Assalammualaikum, 
Nama saya adalah Roshaniza binti Mat Idrus. Saya berasal dari Semenyih, Selangor dan berumur 23 tahun. 

Sekarang ini saya masih menuntut di Universiti Putra Malaysia dalam bidang Bahasa dan Linguistik Melayu. Tahun ini merupakan tahun terakhir saya sebagai pelajar universiti dan perkara ini amat mendukacitakan saya. 

Antara hobi saya semenjak dahulu adalah membaca manga (komik Jepun) dan melihat animasi Jepun.Pelbagai genre animasi Jepun telah saya tontoni. Saya juga suka menterjemahkan manga tersebut ke dalam bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana kebanyakan manga yang saya bacai adalah dalam bahasa Inggeris. Saya ingin menggunakan kelebihan saya dalam mempelajari bidang Bahasa dan Linguistik Melayu untuk menterjemah hobi saya.

Saya juga suka melukis watak-watak dalam animasi Jepun tersebut dan memuat naik lukisan tersebut di laman sosial. Akhir sekali, saya juga berharap ruangan blog ini boleh dimanfaatkan dalam mengembangkan dan menyebarkan bahasa yang benar.


Terima Kasih kerana membaca. Harap biodata diri saya ini tidak menghambarkan hari-hari anda.